Sunday, April 26, 2015

Mendidik Anak -

ANAK TAKUT BUAT SILAP ? WAJARKAH
Pernahkah kita terfikir kenapa kanak-kanak begitu mahir menggunakan gajet seperti telefon pintar dan tablet walaupun tidak pernah diajar? 
Menurut kajian yang dijalankan di University of California, Berkeley untuk membandingkan penggunaan gajet antara kanak-kanak 4/5 tahun dan pelajar universiti, kemahiran anak-anak kecil ini didapati berpunca dari kecenderungan semulajadi anak-anak kecil untuk menyelesaikan masalah. Penggunaan gajet memerlukan 'trial and error'. Anak-anak tidak takut untuk menekan 'icons' dan mencuba pelbagai strategi untuk membuatkan gajet berfungsi. Anak-anak kecil juga lebih kreatif dalam penyelesaian masalah. Inilah yang membezakan anak kecil dan pelajar-pelajar universiti dalam kajian tersebut.

Jika beginilah sifat semulajadi anak-anak kecil, apakah yang boleh menyebabkan anak-anak ini hilang kecenderungan semulajadi itu dan menjadi takut melakukan kesilapan?
Apabila kanak-kanak takut melakukan kesilapan, pemikiran dan pembelajaran mereka tidak dioptimumkan. Mereka akan terdorong untuk sentiasa berada di zon selamat dan mengelakkan diri dari eksplorasi pemikiran dan pembelajaran.

Sebab-sebabnya:
1) Budaya kesempurnaan (perfectionism)
Apabila kanak-kanak semakin membesar, mereka semakin menyedari bahawa melakukan kesilapan sering dianggap sebagai satu kekurangan dan lebih buruk lagi sebagai satu 'kebodohan'. Kanak-kanak kian takut melakukan kesilapan apabila ibubapa dan guru kecewa dan marah apabila mereka melakukan kesilapan. Kiranya ini berlaku, mereka akan mengaitkan kesilapan dengan ketakutan dan kegagalan.
2) Harapan ibubapa.
Memang menjadi lumrah untuk semua ibubapa mempunyai harapan dan impian terhadap anak-anak. Walau bagaimanapun, harapan yang tidak bersesuaian dengan usia dan perkembangan anak memberikan tekanan yang besar terhadap anak. Kanak-kanak sentiasa inginkan perhatian ibubapa. Harapan ibubapa yang tidak dapat ditunaikan menyedihkan mereka dan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap keyakinan diri seorang anak. Rendahnya keyakinan diri menyebabkan anak takut untuk keluar dari zon selamat. Ada juga ibubapa yang melakukan semua perkara untuk anak-anak kerana tidak percayakan anak dan tidak mahu mereka melakukan kesilapan. Ini memberi implikasi yang buruk terhadap persepsi anak-anak berkaitan 'kesilapan'.
3) Salah faham.
Semua kanak- kanak memandang tinggi terhadap ibubapa mereka. Untuk memotivasikan anak-anak, ada ibubapa yang hanya menceritakan tentang kepandaian dan kejayaan mereka kepada anak-anak. Ibubapa ini tidak pernah menyebut tentang kesilapan yang telah mereka lakukan sebagai manusia biasa. 
Apabila ini kaedah motivasi yang kita pilih, anak-anak takut untuk mencuba kerana bimbang tidak berjaya seperti ibubapa yang dianggap hebat dan sempurna. Ini sudah cukup untuk membuatkan mereka takut melakukan kesilapan.Ceritakanlah juga tentang kesilapan dan kegagalan kita, emosi kita ketika itu dan bagaimana cara kita mengatasinya.

4) Definisi kejayaan.
"Papa dan mama mahu anak-anak papa dan mama berjaya". Itulah kata-kata semangat yang sering kita sebut.
Jikalau definisi berjaya yang dimaksudkan ibubapa adalah mendapat nombor 1 dan mendapat semua A dalam peperiksaan, adakah anak-anak gagal jika mereka tidak dapat menepati definisi kejayaan itu? Adakah kita akan menilai usaha-usaha anak atau hanya hasilnya? Jelaskan maksud kejayaan kepada anak-anak. Jelaskan jika mereka belajar dari kesilapan, itu juga dianggap sebagai satu kejayaan. Sebagai seorang Muslim, jelaskan juga jika kesilapan yang anak lakukan akhirnya boleh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, itu juga satu kejayaan.

Oleh itu biarlah anak-anak mencuba dan melakukan eksplorasi. Bimbinglah mereka dan berilah semangat kepada mereka. Pantaulah supaya mereka berada di dalam batas yang sepatutnya selagi tidak membantutkan perkembangan pemikiran dan pembelajaran mereka.
Dipetik dari Parent Connect
www.facebook.com/MyParentConnect/posts/895606927167693?fref=nf






No comments:

Post a Comment