Sunday, March 31, 2013

4 Cara Mudah Mendidik Anak Kreatif



oleh Jamilah Samian 

Apa yang anda tuturkan besar pengaruhnya terhadap kebolehan anak anda untuk berfikir dan bertindak secara kreatif.
Menurut ceritanya, Singapura yang dahulu dikenali sebagai Temasek, pernah diserang segerombolan ikan todak. Raja memerintahkan rakyat jelata untuk membunuh ikan-ikan ini. Bagaimanapun, ikan-ikan ini dengan mudah menumpaskan mereka. Satu demi satu pahlawan Singapura rebah ke bumi akibat tikaman beracun ikan-ikan todak ini.

Ketika itu, muncul seorang budak lelaki bernama Hang Nadim. Dia menyuarakan satu cadangan: Mengapa tidak gunakan batang pisang saja untuk memerangkap ikan-ikan tersebut? Rupa-rupanya, ini idea yang bernas. Pendek cerita, Singapura terselamat hasil idea yang mudah tetapi bijak tersebut.

Cerita Hang Nadim membuktikan apa yang berlaku jika kanak-kanak diberi ruang untuk berfikir secara kreatif. Saya percaya, kebanyakan daripada pereka-pereka dunia pasti ada seorang dewasa, mungkin ayah atau ibu atau guru, yang tidak jemu memberi ruang dan kata perangsang kepada mereka untuk berjaya. Inilah anak-anak yang daya kreativitinya menghasilkan pelbagai benda yang dimanfaatkan oleh insan serata dunia. Daripada telefon mudah alih ke sistem Internet ke kaedah pembedahan laser, kesemuanya membuka jalan untuk kita hidup lebih sempurna.

Berfikir secara kreatif adalah suatu kelebihan yang boleh dipupuk dalam diri anak-anak. 

Cara-cara mudah termasuk:
1. LAYANI DAYA KREATIVITI ANAK ANDA
Kanak-kanak dilahirkan bersifat kreatif. Lihat sahaja George de Mestral yang mereka cipta Velcro pada awal 1900an. Sewaktu kecil, George amat gemar bermain di luar dan mereka cipta pelbagai benda. Setiap kali berlari-lari di padang, dia amat kurang senang dengan sejenis bunga rumput liar yang melekat di seluarnya. Suatu hari, sekembalinya ke rumah, dia mengambil mikroskop dan meneliti bunga rumput liar itu. Rupa-rupanya bunga rumput itu ada beratus-ratus "hook" atau penyangkut halus yang tersangkut pada seluarnya! Dari sinilah tercetusnya idea untuk mereka cipta Velcro!

2. CERITAKAN KREATIVITI PELBAGAI JENIS
Media sering mengetengahkan beberapa aktiviti tertentu sebagai bercorak kreatif, contohnya melukis, menulis dan berlakun. Oleh itu, anak anda mungkin menyangka dia tidak kreatif jika dia tidak berminat dalam sebarang bidang ini. Sebenarnya, kreativiti merangkumi bidang yang amat luas. Kreativiti yang terbaik ialah kebolehan untuk menyelesaikan masalah dan mengatasi apa jua situasi sukar yang anak anda tempuhi di dunia ini.

3. GALAKKAN ANAK BERFIKIR SECARA TERSENDIRI
Jangan sekali-kali diperli atau diperkecilkan idea yang diutarakan oleh anak anda. Kreativiti membabitkan dua proses : BERFIKIR secara kreatif dan MENGHASILKAN sesuatu yang kreatif, iaitu tidak seperti yang difikirkan oleh orang lain. Kanak-kanak perlukan dorongan untuk terus kreatif. Asalkan anda sanggup menyediakan ruang dan masa untuk dua perkara ini, selagi itulah anak anda merasa didorong dan disokong.
Contohnya:
Jika anda terlihat anak anda menyusun beberapa keping blok secara mendatar berkali-kali, tanya dia : "Mungkinkah ada cara lain untuk menyusun blok-blok ini?"

4. BERSEDIA UNTUK MELABUR
Besar kemungkinan, anak anda perlukan bantuan dari segi masa, ruang dan wang untuk menukar ideanya menjadi suatu realiti. Anggaplah masa, ruang dan wang yang anda belanjakan sebagai suatu pelaburan, bukannya kos yang membazirkan, meskipun hasilnya tidak seperti yang anda atau dia impikan. Tentunya dia belajar sesuatu yang berharga sepanjang usaha tersebut.
Kembali kita ke cerita Hang Nadim. Pemikirannya yang bijak menjadikannya seorang yang disegani di pulau Singapura. Timbul pula rasa iri hati di kalangan sesetengah pihak. Suatu hari, seorang insan yang terlalu cemburu dengan kelebihan Hang Nadim membisikkan kepada Raja bahawa Hang Nadim suatu hari nanti akan menjadi ancaman terhadap pengaruh dan kuasa baginda. Malah, tentu Hang Nadim akan menggulingkan dan merampas kuasa baginda bila dewasa nanti! Akhirnya, Raja memerintahkan Hang Nadim supaya dibuang ke laut. Benar atau tidak kisah ini, Wallahua'lam.

Sebagai ibu bapa, mungkin kita tidak sekejam Raja dalam cerita di atas. Namun, kita mungkin terasa tidak senang bila anak kita menyuarakan sesuatu idea yang berbeza. Kita mungkin merasa tercabar bila tidak mampu menjawab soalan-soalan yang diutarakan oleh anak kita sendiri.
Sebenarnya, anak-anak perlu belajar bahawa ibu bapa tidak mempunyai jawapan bagi kesemua soalan mereka. Oleh itu, untuk memastikan anak anda terus kreatif, jangan persendakan idea-idea yang anak anda berikan, meskipun bunyinya tidak masuk akal bagi anda.

dipetik dari  Artikel iluvislam.com  yang ditulis oleh Jamilah Samian.

Biodata Kolumnis
Jamilah Samian adalah Trainer Professional yang ditauliahkan oleh Institut Pengurusan Malaysia. Beliau juga adalah seorang Neuro Linguistic Programming Practitioner (NLP) berdaftar dengan American Board of NLP. Buku-buku beliau termasuk IBU KOOL BAPA HEBAT, ANAK LELAKI KOOL & HEBAT dan THE GROOVY GUIDE TO GEN Y & Z. Layari laman web beliau di http://coolmumsuperdad.com dan http://www.myriadventures.biz.






No comments:

Post a Comment