oleh Jamilah Samian
Apa yang anda tuturkan besar pengaruhnya terhadap kebolehan
anak anda untuk berfikir dan bertindak secara kreatif.
Menurut ceritanya, Singapura yang dahulu dikenali sebagai
Temasek, pernah diserang segerombolan ikan todak. Raja memerintahkan rakyat
jelata untuk membunuh ikan-ikan ini. Bagaimanapun, ikan-ikan ini dengan mudah
menumpaskan mereka. Satu demi satu pahlawan Singapura rebah ke bumi akibat
tikaman beracun ikan-ikan todak ini.
Ketika itu, muncul seorang budak lelaki bernama Hang Nadim.
Dia menyuarakan satu cadangan: Mengapa tidak gunakan batang pisang saja untuk
memerangkap ikan-ikan tersebut? Rupa-rupanya, ini idea yang bernas. Pendek
cerita, Singapura terselamat hasil idea yang mudah tetapi bijak tersebut.
Cerita Hang Nadim membuktikan apa yang berlaku jika
kanak-kanak diberi ruang untuk berfikir secara kreatif. Saya percaya,
kebanyakan daripada pereka-pereka dunia pasti ada seorang dewasa, mungkin ayah
atau ibu atau guru, yang tidak jemu memberi ruang dan kata perangsang kepada
mereka untuk berjaya. Inilah anak-anak yang daya kreativitinya menghasilkan
pelbagai benda yang dimanfaatkan oleh insan serata dunia. Daripada telefon
mudah alih ke sistem Internet ke kaedah pembedahan laser, kesemuanya membuka
jalan untuk kita hidup lebih sempurna.
Berfikir secara kreatif adalah suatu kelebihan yang boleh
dipupuk dalam diri anak-anak.
Cara-cara mudah termasuk:
1. LAYANI DAYA KREATIVITI ANAK ANDA
Kanak-kanak dilahirkan bersifat kreatif. Lihat sahaja George
de Mestral yang mereka cipta Velcro pada awal 1900an. Sewaktu kecil, George
amat gemar bermain di luar dan mereka cipta pelbagai benda. Setiap kali
berlari-lari di padang, dia amat kurang senang dengan sejenis bunga rumput liar
yang melekat di seluarnya. Suatu hari, sekembalinya ke rumah, dia mengambil
mikroskop dan meneliti bunga rumput liar itu. Rupa-rupanya bunga rumput itu ada
beratus-ratus "hook" atau penyangkut halus yang tersangkut pada
seluarnya! Dari sinilah tercetusnya idea untuk mereka cipta Velcro!
2. CERITAKAN KREATIVITI PELBAGAI JENIS
Media sering mengetengahkan beberapa aktiviti tertentu
sebagai bercorak kreatif, contohnya melukis, menulis dan berlakun. Oleh itu,
anak anda mungkin menyangka dia tidak kreatif jika dia tidak berminat dalam
sebarang bidang ini. Sebenarnya, kreativiti merangkumi bidang yang amat luas. Kreativiti
yang terbaik ialah kebolehan untuk menyelesaikan masalah dan mengatasi apa jua
situasi sukar yang anak anda tempuhi di dunia ini.
3. GALAKKAN ANAK BERFIKIR SECARA TERSENDIRI
Jangan sekali-kali diperli atau diperkecilkan idea yang
diutarakan oleh anak anda.
Kreativiti membabitkan dua proses : BERFIKIR secara kreatif dan MENGHASILKAN
sesuatu yang kreatif, iaitu tidak seperti yang difikirkan oleh orang lain.
Kanak-kanak perlukan dorongan untuk terus kreatif. Asalkan anda sanggup
menyediakan ruang dan masa untuk dua perkara ini, selagi itulah anak anda
merasa didorong dan disokong.
Contohnya:
Jika anda terlihat anak anda menyusun beberapa keping blok
secara mendatar berkali-kali, tanya dia : "Mungkinkah ada cara lain untuk
menyusun blok-blok ini?"
4. BERSEDIA UNTUK MELABUR
Besar kemungkinan, anak anda perlukan bantuan dari segi
masa, ruang dan wang untuk menukar ideanya menjadi suatu realiti. Anggaplah
masa, ruang dan wang yang anda belanjakan sebagai suatu pelaburan, bukannya kos
yang membazirkan, meskipun hasilnya tidak seperti yang anda atau dia impikan.
Tentunya dia belajar sesuatu yang berharga sepanjang usaha tersebut.
Kembali kita ke cerita Hang Nadim. Pemikirannya yang bijak
menjadikannya seorang yang disegani di pulau Singapura. Timbul pula rasa iri
hati di kalangan sesetengah pihak. Suatu hari, seorang insan yang terlalu
cemburu dengan kelebihan Hang Nadim membisikkan kepada Raja bahawa Hang Nadim
suatu hari nanti akan menjadi ancaman terhadap pengaruh dan kuasa baginda.
Malah, tentu Hang Nadim akan menggulingkan dan merampas kuasa baginda bila
dewasa nanti! Akhirnya, Raja memerintahkan Hang Nadim supaya dibuang ke laut.
Benar atau tidak kisah ini, Wallahua'lam.
Sebagai ibu bapa, mungkin kita tidak sekejam Raja dalam
cerita di atas. Namun, kita mungkin terasa tidak senang bila anak kita
menyuarakan sesuatu idea yang berbeza. Kita mungkin merasa tercabar bila tidak
mampu menjawab soalan-soalan yang diutarakan oleh anak kita sendiri.
Sebenarnya, anak-anak perlu belajar bahawa ibu bapa tidak
mempunyai jawapan bagi kesemua soalan mereka. Oleh itu, untuk memastikan anak anda
terus kreatif, jangan persendakan idea-idea yang anak anda berikan, meskipun
bunyinya tidak masuk akal bagi anda.
dipetik dari Artikel iluvislam.com yang ditulis oleh Jamilah Samian.
Biodata Kolumnis
Jamilah Samian adalah Trainer Professional yang ditauliahkan
oleh Institut Pengurusan Malaysia. Beliau juga adalah seorang Neuro Linguistic
Programming Practitioner (NLP) berdaftar dengan American Board of NLP.
Buku-buku beliau termasuk IBU KOOL BAPA HEBAT, ANAK LELAKI KOOL & HEBAT dan
THE GROOVY GUIDE TO GEN Y & Z. Layari laman web beliau di http://coolmumsuperdad.com
dan http://www.myriadventures.biz.