Saturday, January 14, 2012

Tokoh-Tokoh Pengasas Pendidikan Awal Kanak-Kanak



Tokoh-Tokoh Pengasas Islam

1. Imam Al-Ghazali
Dilahirkan pada 450 Hijrah (1058 Masehi) di Parsi. Dilantik sebagai Naib Canselor Universiti dan pensyarah Universiti Pengajian Tinggi Nizamiah pada tahun 484 Hijrah. Pada tahun 489, beliau meletak jawatan dan pergi ke Syria dan ke Mecca. Kitab beliau yang termashur ialah Ihya Ulumuddin.
Pandangan Imam Al-Ghazali :
  • Seorang anak harus dididik dari lahir. Seorang bayi jangan diberikan kepada orang lain menjaganya kecuali wanita yang kuat agama dan mulia tingkah lakunya.
  • Didik kanak-kanak dengan pelajaran agama, adab sopan, adab makan minum, mencuci badan, berwuduk dan bersembahyang.
  • Didik kanak-kanak supaya memperolehi tingkah laku yang mulia, merendah diri, tidak berbohong, bersederhana dalam perlakuan, tidak berkawan dengan orang jahat dan tidak berbangga.
  • Sikap tegas dengan kanak-kanak, jangan biasakan mereka bersenang-senang, jangan berseronok atau bermanja-manja apabila bergaul dengan mereka.
  • Tidak boleh keterlaluan bila mendenda kanak-kanak. Jangan mencemuh dan menimbulkan kebencian mereka.
  • Suruh kanak-kanak bermain kerana main pada kanak-kanak dapat:
-membantu perkembangan fizikal serta menguatkan otot.
- sifat semulajadi kanak-kanak memang suka bermain.
- dapat menggembirakan mereka serta memberi kerehatan selepas penat belajar.2. Ibnu Khaldun

Seorang pemikir Islam dan beliau telah banyak memperkatakan mengenai persediaan untuk belajar, pemerhatian, motivasi, berusaha, pengukuhan, perbezaan individu dan latihan. Pendapat beliau pada peringkat permulaan :
  • Jangan diajar kanak-kanak dengan perkara-perkara yang susah.
  • Belajar dari mudah kepada yang lebih susah secara:
- berperingkat-peringkat.
- mengadakan latih-tubi.
- menggunakan benda-benda maujud.
- menggunakan bahan-bahan bantu untuk mengajar.
  • Kanak-kanak jangan dibebankan dengan perkara-perkara yang diluar kemampuan mereka. Ini boleh menyebabkan mereka :
- tidak mahu belajar
- mencerca pengajaran yang diberi.


  • Beliau mencadangkan kanak-kanak diperingkat prasekolah hendaklah diberi contoh-contoh yang konkrit yang boleh difahami melalui pancarindera mereka.
  • Ibnu Khaldun juga menyarankan pembacaan Al-Quran harus diajar sebelum menghafalnya. Apabila sampai umur tertentu dan sesuai dengan daya pemikiran barulah diajar tafsir, hukum dan lain-lain.
  • Jadual pembelajaran harus disusun dengan baik supaya kanak-kanak dapat memahami apa yang disampaikan.
  • Kanak-kanak harus dibentuk dengan penuh kasih sayang, lemah lembut dan bertimbang rasa bukannya dengan cara kekerasan kerana ini boleh menyebabkan mereka menjadi pemalas, pembohong, berlagak untuk menyembunyikan yang sebenar, membuat tipu helah dan tidak berperikemanusiaan.
  • Masa belajar jangan terlalu panjang kerana boleh menyebabkan lupa, sebaliknya dalam waktu yang pendek serta cara yang betul bagi mendapat hasil pembelajaran yang baik.
  • Bahasa adalah asas kepada semua kanak-kanak semasa pembelajaran. Mulailah dengan membaca, menulis, kemudian kaitkan dengan makna.
(Dipetik dari Program Latihan Guru Prasekolah, 2011. Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia)




No comments:

Post a Comment