Saturday, July 30, 2011

Perjumpaan Ibubapa Guru 2011 dan Mendidik Anak

Perjumpaan Ibubapa Guru (Parent-Teacher's Meeting) dijalankan pada 24-25 Jun untuk berkongsi maklumat serta maklumbalas mengenai perkembangan anak-anak setelah 5 bulan berada di Tadika. Selain daripada itu, perjumpaan ini juga memberi peluang kepada ibubapa untuk memberi pandangan, berkongsi maklumat dan lain-lain perkara. Kami amat menghargai maklumbalas yang positif dan membina daripada ibubapa untuk memperbaiki lagi Tadika.
Bahasa Inggeris masih merupakan bahasa utama di Tadika dan akan dikekalkan untuk memberi pendedahan asas Bahasa Inggeris pada peringkat awal. Pengetahuan atau penguasaan Bahasa Inggeris akan memberi satu kelebihan (advantage) kepada pelajar terutama sekali apabila dewasa dan bekerja. Bahasa Melayu akan digunakan untuk mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah mulai tahun 2012. Sebagai persediaan untuk perubahan ini, masa pembelajaran untuk Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu juga ditambah mulai tahun ini. Buku laporan dan hasil kerja kanak-kanak disediakan untuk dilihat atau dikaji oleh ibubapa semasa perjumpaan.
MENDIDIK ANAK


DIDIKLAH ANAK DARI PERINGKAT AWAL . Ibubapa merupakan GURU PERTAMA DAN UTAMA pada peringkat awal anak-anak sehingga baligh. Anak-anak banyak belajar daripada ibubapanya. Ibubapa juga merupakan orang yang dapat mempengaruhi anaknya, menjadi perangsang atau pemangkin kepada anak dalam pelbagai aspek perkembangan anaknya.


Seorang anak akan menunjukkan perkembangan yang positif dan cepat sekiranya ada penglibatan, galakan dan perhatian ibubapa dalam pendidikannya dari semua aspek : akademik, sosioemosi, kemahiran motor halus dan motor kasar, kreativiti, sikap, agama, nilai-nilai baik, kemahiran hidup, dan lain-lain.


Disiplin amat penting dalam mendidik anak pada peringkat awal, di tadika dan sekolah rendah. Disiplin bererti membuat apa yang kena buat, membuat pada masa yang kena buat (iaitu mewujudkan rutin harian), membuat dengan bersungguh-sungguh, dan lebih kepada memberi ganjaran dari hukuman.


Tentukan rutin harian : waktu solat, bangun tidur, belajar, menonton TV, main 'computer games', makan, mandi, dan lain-lain. Rutin juga termasuk : menyimpan buku selepas membaca, meletak baju kotor ke dalam bakul, menyimpan kasut di rak kasut, menyimpan mainan selepas bermain dan lain-lain. Anak-anak lebih senang diurus sekiranya berdisiplin iaitu ada rutin dan peraturan yang jelas.Cuba libatkan anak-anak dalam mengendalikan kerja-kerja rumah yang mudah, bersuaian dengan umur atau kebolehan anak-anak. Selain dari melatih anak-anak dalam kemahiran hidup, peluang ini boleh digunakan untuk mengajar ~ nama objek, mengira, sains, dan lain-lain. Bekerja bersama anak juga merupakan satu peluang untuk merapatkan hubungan ibubapa dan anak.
Memang penat dan amat menguji untuk ibubapa melayan serta memberi perhatian pada anak-anak, lebih-lebih lagi sekiranya kedua ibubapa bekerja. Ibu dan bapa perlu berkerja sebagai satu pasukan dan membentuk suasana harmoni ~ buat rutin untuk mengurus masa dengan anak, membuat kerja rumah dan rehat. Anak adalah amanah dari Allah SWT dan ianya sebahagian dari ujian Allah SWT kepada kita hamba-hambaNya. Pemakanan juga satu aspek yang penting dan menentukan kesihatan anak di masa depan. Beri makanan yang berkhasiat dan seimbang. Galakkan anak makan sayur-sayuran dan buah-buahan. KURANGKAN makanan proses atau 'instant', berbagai keropok atau makanan ringan, gula-gula, berbagai jeruk, minuman manis dan lain-lain. Masa berlalu dengan cepat dan zaman kanak-kanak tidak akan kembali lagi. Jadi JANGAN LEPASKAN PELUANG INI untuk mendidik, mengasuh dan melatih anak-anak menjadi seorang yang bijak, baik dan sihat. Jangan menyesal di hari tua kerana tidak memberi perhatian, penglibatan dan tumpuan semasa anak-anak memerlukan kita di zaman kanak-kanak mereka. Marilah kita memperbanyakkan ibadah dan doa agar anak menjadi seorang insan yang baik, soleh, berilmu, bertaqwa, beramal dan menghormati ibubapa. Berdoalah agar kita mendapat kekuatan, kesabaran, bimbingan serta hidayah dari Allah SWT dalam menjalankan tugas mendidik anak-anak.



No comments:

Post a Comment